Assalammualaikum..
Salam Sejahtera..
Sempena #BudgetFever yang melanda Malaysia sejak Jumaat lepas (28 September 2012), aku berasa tertarik untuk berkongsi sebuah artikel yang ditulis oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai YB Nurul Izzah Anwar, artikel ni diambil daripada blog beliau dan di terbitkan sekitar 2010, walaupun agak lama dalam tempoh 2 tahun, namun isunya masih relevan untuk kita jadikan sumber sebagai satu perbandingan dan pertimbangan terhadap perjalanan dan progress yang telah dan sedang Malaysia lalui..
(Pertama kali disiarkan di Sinar Harian, 7 Disember 2010)
Mimpi Malaysia di Korea Selatan
Bukan lagi perkara luar biasa untuk bertemu dengan anak-anak muda yang bercita-cita untuk meninggalkan negara. Bagi yang lebih bernasib baik dan berkelayakan, Kad Hijau Amerika Syarikat atau taraf penduduk tetap di Singapura menjadi jalan keluar kepada belenggu ini. Untuk yang tiada peluang sebegini, saya percaya ramai yang terus tidak ambil pusing tentang apa berlaku di persekitaran mereka dan hanya hidup untuk memenuhi keperluan asas harian. Bagi saya, keyakinan untuk terus menjanjikan perubahan dan membawa harapan baru datang daripada penghayatan terhadap sejarah negara. Semasa negara ini bermula, para pemimpin dahulu merangka rancangan-rancangan yang dapat membawa Malaysia ke hadapan dalam masa singkat. Pemimpin-pemimpin dahulu menubuhkan Felda untuk menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di luar bandar.
Kita pernah membuka Maktab Perguruan di Kirkby, Liverpool untuk melahirkan kumpulan pendidik terbaik dengan pantas bagi mengasuh anak-anak bangsa di tanah air. Perkara sama juga dapat dilihat apabila pada tahun 1970-an Petronas ditubuhkan agar hasil minyak yang melimpah itu dapat diuruskan dengan lebih cekap bagi mempercepatkan pembangunan negara. Hasilnya, penduduk pedalaman tidak hidup kelaparan. Guru-guru mendapat latihan bertaraf dunia dapat dilahirkan dengan cepat. Pembangunan dapat dilaksanakan dengan cepat hasil pengurusan sumber minyak yang cekap. Sudah tentu, akibat lupa dengan hasrat murni pemimpin dahulu, maka lahirlah kecacatan di sana-sini dalam sistem yang wujud sejak kelahiran negara kita. Saya dapat melihat bagaimana sejarah pembinaan negara ini diulang tayang semasa lawatan saya ke Korea Selatan minggu lepas untuk menghadiri jemputan persidangan Kepimpinan Wanita Global dari 29 – 30 November.
Tujuan utama persidangan itu untuk berbincang dan belajar dengan pemimpin-pemimpin wanita dari seluruh dunia tentang peranan dan pengupayaan kepimpinan generasi muda untuk pembangunan demokrasi dan ekonomi negara masing-masing. Sejarah pembangunan ekonomi Korea Selatan dan Malaysia menjadi contoh bagaimana Korea Selatan berjaya maju jauh ke depan. Korea Selatan berada dalam keadaan lebih miskin dari Malaysia pada tahun 1960-an. Ia tidak memiliki sumber asli seperti balak, bijih, atau minyak. Satu-satunya sumber kekayaan mereka ialah orang muda berpendidikan yang kuat bekerja. Rancangan ekonomi yang mengubah wajah Korea Selatan juga bermula dengan industri pengeluaran barangan elektronik murah sebelum beralih penghasilan produk bernilai tinggi pada 1980-an sehingga warganya mencatatkan kenaikan pendapatan sebanyak empat kali ganda antara 1987 hingga 1990. Penting untuk disebutkan pada tahun 1950, pendapatan per kapita negara kita adalah hampir empat kali ganda Korea Selatan.
Hari ini Malaysia sudah jauh ditinggalkan Korea Selatan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kita adalah sekitar AS$6975, manakala negara itu sudah ke depan dengan AS$17,078. Seperti Malaysia, Korea Selatan juga mempunyai industri automobilnya sendiri. Hyundai yang bermula lewat tahun 1970-an berbanding Proton yang dilahirkan Malaysia pada 1980-an, hari ini sudah menjadi jenama besar dan terkemuka di dunia manakala Proton yang berharga tinggi di negara sendiri masih mencari-cari pasaran dunia yang semakin mengecil. Korea melahirkan jaguh dunia manakala Malaysia melahirkan jaguh kampung.
Secara ringkasnya, Korea Selatan yang lebih terbeban dengan masalah ekonomi pada satu ketika, kini menjadi lebih makmur daripada kita melalui dasar-dasar diperkenalkan dengan tujuan membawa anjakan besar kepada negara. Melihat sejarah kemakmuran Korea Selatan mengembalikan keyakinan saya kepada usaha untuk membawa harapan baru kepada rakyat negara ini. Saya masih bertekad untuk berjuang agar negara kita berubah penumpuan dasar daripada membina prasarana fizikal seperti Menara 100 tingkat kepada pelaburan pengupayaan model insan dan prasarana intelektual dengan menggandakan usaha kita dalam bidang pendidikan dan penyelidikan. Kejayaan masa depan ekonomi negara masih saya yakin tertakluk kepada pemulihan demokrasi melalui penarikbalikan pengisytiharan darurat, pemansuhan undang-undang anti demokratik dan menjamin proses pilihan raya yang adil, terus, dan bebas seperti di Korea Selatan. Ia memang satu perjalanan panjang yang penuh ranjau tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Memang lebih mudah untuk putus harapan dan meninggalkan segala tanggungjawab. Tetapi perjalanan ini ibarat satu maraton jarak jauh, dan kerana kealpaan dan kelekaan pemimpin yang tidak amanah dan bertanggungjawab, kita telah ketinggalan. Namun berkat keazaman, istiqamah dan penerusan agenda demi mengembalikan kejayaan lampau Malaysia, saya yakin kita mampu memintas jauh ke hadapan mereka yang telah memotong kita satu ketika dahulu. Kesediaan menerima kebenaran yang pahit, dan bergerak pantas untuk memperbaiki kelemahan yang ada menjadikan pembinaan semula kekuatan negara sesuatu yang mampu kita lakukan bersama! Ayuh, hidupkan semula mimpi Malaysia!
* Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan mengalu-alukan maklum balas di mp -at- nurulizzah.com
Terima Kasih kerana meluangkan masa untuk membaca posting ini, Wassalam..
P/S:
Peace No War
Citizenship For Rohingya
Freedom for Syria
Freedom for Palestine
We Love Our Prophet Muhammad SAW
No comments:
Post a Comment