waktu kat Malaysia sekarang..

Peminat-peminat Saya

Mein Name ist Nama Baru

My photo
Seorang musafir diatas bumi sang pencipta, mencari & terus mencari erti hidup

sEaRcH Fr0m HeRe

Friday, May 18, 2012

Pasca-BERSIH 3.0: Sisi gelap demokrasi

Assalammualaikum..

Artikel dibawah ni aku "copy and paste" dari ideas.org.my, laman web rasmi bagi Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS).. untuk detail pasal IDEAS nanti aku akan post entry lain sebab perlukan masa untuk menulis dan merangka ayat sendiri (yang sebenarnya sebab aku pemalas haha) ataupun siapa yang berminat nak tau lanjut tanpa perlu baca post aku tu boleh terus ke web page about IDEAS

Secara ringkasnya artikel tersebut ditulis oleh Felo IDEAS iaitu Amin Ahmad dan telah di terbitkan di Malaysiakini pada 12 Mei 2012

Pasca-BERSIH 3.0: Sisi gelap demokrasi

“Kita hidup dalam zaman demokrasi. Sejak lebih satu abad lalu dunia telah dibentuk oleh satu aliran utama berbanding yang lain – kemunculan demokrasi.” Begitulah ayat pertama dalam bab Pendahuluan buku The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad oleh Fareed Zakaria. Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias idea demokrasi. Betapa pentingnya idea ini, ia diungkapkan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan diulang semasa Pemasyhuran Malaysia 1963. 

Maka, wacana berkaitannya di Malaysia bukanlah baru, meskipun ia kian bersemarak pasca pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Demokrasi umumnya dianggap sebagai pemerintahan dengan mandat daripada rakyat. Seringkali kita mendengar ungkapan Abraham Lincoln, Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 dipetik untuk menjelaskannya:
“Demokrasi ialah kerajaan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat.”
Kita boleh memahami bagaimana idea ini bersifat revolusioner dengan menyingkap fakta sejarah bahawa tidak ada satu kerajaan pun dipilih melalui pilihan raya pada tahun 1900, berbanding kini di mana lebih 60 peratus kerajaan di negara seluruh dunia dipilih melalui kaedah tersebut. Ya, maksud “kerajaan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat” itu ditunjukkan melalui satu sistem pilihan raya sebagai kaedah praktikal bagi menentukan siapa yang akan menjalankan kuasa politik di negara terbabit, tentunya kepada seluruh penduduk. Pilihan raya ini dibuat secara berkala, iaitu tidak lebih lima tahun sekali di Malaysia, bagi membolehkan rakyat mempunyai kawalan terhadap parti atau individu yang memerintah.

Demokrasi di dunia dan di Malaysia
Sebenarnya, meskipun sistem demokrasi dipakai oleh lebih 100 buah negara, tidak bermaksud ia 100 peratus seragam. Kita boleh melihat misalnya model Amerika Syarikat dan United Kingdom. Atau lebih dekat lagi dengan perbandingan model negara kita, Singapura dan Indonesia. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamed sering menjadikan keanjalan ini sebagai ruang untuk beliau menjustifikasikan tindakan tidak demokratiknya. Ketika menyatakan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, beliau menjustifikasikannya dengan hujah “kerana mengadakan pilihan raya.” Apakah cukup sekadar itu?

Berdasarkan Indeks Demokrasi 2011 keluaran The Economist, Malaysia berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167 negara yang dikaji. Kedudukan ini sama dengan tahun 2010, selepas jatuh daripada kedudukan ke-68 pada tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36 kepada 6.19. Ini menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula daripada kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka (57), Mongolia (69) dan Ghana (78). Dari kalangan negara Asia Tenggara, hanya Tshailand dan Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke-58 dan ke-60. Indeks ini memberi penilaian kepada lima perkara: proses pilihan raya dan kepelbagaian, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Jelas, melaluinya kita tahu bahawa demokrasi melangkau lebih daripada formaliti pilihan raya. Kedudukan Malaysia dalam senarai ini menunjukkan berlaku defisit demokrasi yang mesti segera dibaiki.

Kezaliman majoriti
Ketempangan ini turut menjelaskan bahawa, meskipun dilihat sebagai sistem politik yang paling diterima setakat ini, demokrasi tidak sunyi daripada kelemahan tersendiri. Antara kritikan utama terhadap demokrasi ialah ia boleh disalahgunakan oleh kelompok majoriti. Bukan setakat zalim, ia juga boleh mengangkat pemimpin perasuah dan menyalahguna kuasa.
Contoh terbaik dilema ini boleh dilihat di Jerman apabila Adolf Hitler berjaya menjadi canselor melalui satu proses pilihan raya yang bebas dan adil. Selain itu, kerajaan perkauman dan zalim pernah diangkat di Yugoslavia pada dekad 1990-an. Dalam wacana demokrasi, ini disebut sebagai kezaliman majoriti. Sebab itu hak kebebasan asasi yang tidak boleh digugat ditetapkan dalam sebuah perlembagaan demokratik. Perkara ini boleh ditemukan dalam Perkara 5 hingga Perkara 13, Perlembagaan Malaysia.

BERSIH 3.0 – Memperbaiki demokrasi di Malaysia
Dengan keterangan di atas, desakan BERSIH 3.0 boleh difahami. Pilihan raya adalah terlalu penting untuk diremehkan. Dalam History of Freedom in Antiquity (1877), Lord Acton menulis, “satu daripada kejahatan demokrasi ialah kezaliman majoriti, atau lebih kepada parti, tidak semestinya majoriti, yang berjaya sama ada dengan paksaan atau penipuan, dalam menjalankan pilihan raya.” Saya berasa sedikit lega apabila Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Pilihan Raya ditarik balik oleh kerajaan baru-baru ini.

Namun itu tidak menghilangkan persoalan bagaimana kerajaan boleh tergamak memikirkan tiga pindaan yang boleh mencacatkan proses pilihan raya yang adil, bersih dan bebas, antaranya cadangan memberi kuasa mutlak menafikan mekanisme semak dan imbang melalui kehadiran ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan. Lebih daripada soal pilihan raya, BERSIH 3.0 turut mengheret isu-isu lain berkaitan demokrasi ke wacana umum. Selain hak berhimpun, kita boleh membaca atau mendengar banyak perbualan ramai. Ada sebahagian daripadanya dihujahkan dengan buruk, tidak demokratik malah bersifat ancaman. 

Agak mengejutkan apabila ada wakil rakyat dan juga penyokong tuntutan BERSIH 3.0 dan hak berhimpun tempoh hari mendesak Senator Tunku Aziz Tunku Ibrahim meletakkan jawatan dan keluar daripada DAP kerana mengkritik perhimpunan itu yang dikaitkan dengan pelanggaran undang-undang. Tunku Aziz mungkin kurang tepat, atau tersilap dalam kritikannya. Namun, beliau menegaskan sokongannya kepada perhimpunan yang lebih rendah risikonya – mengambil tawaran kerajaaan agar berhimpun di Stadium Merdeka.

Untuk saya tidak ada salah pada kenyataan Tunku Aziz, dan ini tidak semestinya menjadikan pilihan BERSIH 3.0 juga salah. Kini Tunku Aziz sudah tamat tempoh perkhidmatan sebagai senator, dan ia tidak dilanjutkan. Sudah tentu kita boleh mengatakan tempoh perkhidmatan seseorang senator di Dewan Negara adalah hak pilihan kerajaan negeri. Namun jangan dilupa bahawa persepsi mempunyai tempat khusus dalam gerak kerja politik. Jika kita menyokong tuntutan BERSIH 3.0 dan hak berhimpun untuk memastikan demokrasi terus hidup dan subur di Malaysia, ketahuilah bahawa desakan agar memecat seseorang ahli parti hanya kerana berbeza pendapat secara aman dalam hal teknikal juga bukan satu tindakan demokratik.

Sesungguhnya politik wujud kerana manusia tidak boleh bersetuju 100 peratus dalam semua perkara dan seorang yang demokratik mesti memahami ciri asas ini. Saya tidak mengharapkan ahli parlimen atau pimpinan kerajaan negeri – baik diperintah oleh BN atau Pakatan Rakyat, malah sesiapa sahaja – hanya tunduk kepada apa saja garis sikap parti atau pimpinan parti setiap masa. Amalan sentiasa patuh kepada parti adalah amalan buruk yang tidak harus dicontohi oleh pemimpin Malaysia pada masa kini dan akan datang. Jangan nanti ungkapan Lincoln disalahfahami sebagai “menyekat, membeli dan menekan rakyat” (off the people, buy the people and force the people). Sesungguhnya demokrasi mempunyai sisi cerah, jadi mengapa kita mahu berada di sisi gelap?
- – -
AMIN AHMAD ialah Felo di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).