Assalammualaikum..
Artikel dibawah ni aku "copy and paste" dari ideas.org.my, laman web rasmi bagi Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS).. untuk detail pasal IDEAS nanti aku akan post entry lain sebab perlukan masa untuk menulis dan merangka ayat sendiri (yang sebenarnya sebab aku pemalas haha) ataupun siapa yang berminat nak tau lanjut tanpa perlu baca post aku tu boleh terus ke web page about IDEAS
Secara ringkasnya artikel tersebut ditulis oleh Felo IDEAS iaitu Amin Ahmad dan telah di terbitkan di Malaysiakini pada 12 Mei 2012
Pasca-BERSIH 3.0: Sisi gelap demokrasi
“Kita hidup dalam zaman demokrasi. Sejak lebih satu abad lalu dunia
telah dibentuk oleh satu aliran utama berbanding yang lain – kemunculan
demokrasi.” Begitulah ayat pertama dalam bab Pendahuluan buku The Future of
Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad oleh Fareed Zakaria. Malaysia tidak terkecuali daripada
menerima tempias idea demokrasi. Betapa pentingnya idea ini, ia
diungkapkan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan diulang semasa
Pemasyhuran Malaysia 1963.
Maka, wacana berkaitannya di Malaysia
bukanlah baru, meskipun ia kian bersemarak pasca pemecatan Anwar Ibrahim
pada tahun 1998. Demokrasi umumnya dianggap sebagai pemerintahan dengan mandat
daripada rakyat. Seringkali kita mendengar ungkapan Abraham Lincoln,
Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 dipetik untuk menjelaskannya:
“Demokrasi ialah kerajaan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat.”
Kita boleh memahami bagaimana idea ini bersifat revolusioner dengan
menyingkap fakta sejarah bahawa tidak ada satu kerajaan pun dipilih
melalui pilihan raya pada tahun 1900, berbanding kini di mana lebih 60
peratus kerajaan di negara seluruh dunia dipilih melalui kaedah
tersebut. Ya, maksud “kerajaan rakyat, daripada rakyat, untuk rakyat” itu
ditunjukkan melalui satu sistem pilihan raya sebagai kaedah praktikal
bagi menentukan siapa yang akan menjalankan kuasa politik di negara
terbabit, tentunya kepada seluruh penduduk. Pilihan raya ini dibuat secara berkala, iaitu tidak lebih lima tahun
sekali di Malaysia, bagi membolehkan rakyat mempunyai kawalan terhadap
parti atau individu yang memerintah.
Demokrasi di dunia dan di Malaysia
Sebenarnya, meskipun sistem demokrasi dipakai oleh lebih 100 buah
negara, tidak bermaksud ia 100 peratus seragam. Kita boleh melihat
misalnya model Amerika Syarikat dan United Kingdom. Atau lebih dekat
lagi dengan perbandingan model negara kita, Singapura dan Indonesia. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamed sering menjadikan
keanjalan ini sebagai ruang untuk beliau menjustifikasikan tindakan
tidak demokratiknya. Ketika menyatakan Malaysia adalah sebuah negara
demokrasi, beliau menjustifikasikannya dengan hujah “kerana mengadakan
pilihan raya.” Apakah cukup sekadar itu?
Berdasarkan Indeks Demokrasi 2011 keluaran The Economist, Malaysia
berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167 negara yang dikaji. Kedudukan
ini sama dengan tahun 2010, selepas jatuh daripada kedudukan ke-68 pada
tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36 kepada 6.19. Ini menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan
sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula
daripada kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka
(57), Mongolia (69) dan Ghana (78). Dari kalangan negara Asia Tenggara,
hanya Tshailand dan Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat
ke-58 dan ke-60. Indeks ini memberi penilaian kepada lima perkara: proses pilihan raya
dan kepelbagaian, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik
dan kebebasan sivil. Jelas, melaluinya kita tahu bahawa demokrasi melangkau lebih daripada
formaliti pilihan raya. Kedudukan Malaysia dalam senarai ini
menunjukkan berlaku defisit demokrasi yang mesti segera dibaiki.
Kezaliman majoriti
Ketempangan ini turut menjelaskan bahawa, meskipun dilihat sebagai
sistem politik yang paling diterima setakat ini, demokrasi tidak sunyi
daripada kelemahan tersendiri. Antara kritikan utama terhadap demokrasi ialah ia boleh
disalahgunakan oleh kelompok majoriti. Bukan setakat zalim, ia juga
boleh mengangkat pemimpin perasuah dan menyalahguna kuasa.
Contoh terbaik dilema ini boleh dilihat di Jerman apabila Adolf
Hitler berjaya menjadi canselor melalui satu proses pilihan raya yang
bebas dan adil. Selain itu, kerajaan perkauman dan zalim pernah diangkat
di Yugoslavia pada dekad 1990-an. Dalam wacana demokrasi, ini disebut sebagai kezaliman majoriti. Sebab
itu hak kebebasan asasi yang tidak boleh digugat ditetapkan dalam
sebuah perlembagaan demokratik. Perkara ini boleh ditemukan dalam
Perkara 5 hingga Perkara 13, Perlembagaan Malaysia.
BERSIH 3.0 – Memperbaiki demokrasi di Malaysia
Dengan keterangan di atas, desakan BERSIH 3.0 boleh difahami. Pilihan
raya adalah terlalu penting untuk diremehkan. Dalam History of Freedom
in Antiquity (1877), Lord Acton menulis, “satu daripada kejahatan demokrasi ialah
kezaliman majoriti, atau lebih kepada parti, tidak semestinya majoriti,
yang berjaya sama ada dengan paksaan atau penipuan, dalam menjalankan
pilihan raya.” Saya berasa sedikit lega apabila Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Pilihan Raya ditarik balik oleh kerajaan baru-baru ini.
Namun itu tidak menghilangkan persoalan bagaimana kerajaan boleh
tergamak memikirkan tiga pindaan yang boleh mencacatkan proses pilihan
raya yang adil, bersih dan bebas, antaranya cadangan memberi kuasa
mutlak menafikan mekanisme semak dan imbang melalui kehadiran ejen
tempat mengundi dan ejen pengiraan. Lebih daripada soal pilihan raya, BERSIH 3.0 turut mengheret isu-isu
lain berkaitan demokrasi ke wacana umum. Selain hak berhimpun, kita
boleh membaca atau mendengar banyak perbualan ramai. Ada sebahagian
daripadanya dihujahkan dengan buruk, tidak demokratik malah bersifat
ancaman.
Agak mengejutkan apabila ada wakil rakyat dan juga penyokong tuntutan
BERSIH 3.0 dan hak berhimpun tempoh hari mendesak Senator Tunku Aziz
Tunku Ibrahim meletakkan jawatan dan keluar daripada DAP kerana
mengkritik perhimpunan itu yang dikaitkan dengan pelanggaran
undang-undang. Tunku Aziz mungkin kurang tepat, atau tersilap dalam kritikannya.
Namun, beliau menegaskan sokongannya kepada perhimpunan yang lebih
rendah risikonya – mengambil tawaran kerajaaan agar berhimpun di Stadium
Merdeka.
Untuk saya tidak ada salah pada kenyataan Tunku Aziz, dan ini tidak semestinya menjadikan pilihan BERSIH 3.0 juga salah. Kini Tunku Aziz sudah tamat tempoh perkhidmatan sebagai senator, dan
ia tidak dilanjutkan. Sudah tentu kita boleh mengatakan tempoh
perkhidmatan seseorang senator di Dewan Negara adalah hak pilihan
kerajaan negeri. Namun jangan dilupa bahawa persepsi mempunyai tempat
khusus dalam gerak kerja politik. Jika kita menyokong tuntutan BERSIH 3.0 dan hak berhimpun untuk
memastikan demokrasi terus hidup dan subur di Malaysia, ketahuilah
bahawa desakan agar memecat seseorang ahli parti hanya kerana berbeza
pendapat secara aman dalam hal teknikal juga bukan satu tindakan
demokratik.
Sesungguhnya politik wujud kerana manusia tidak boleh bersetuju 100
peratus dalam semua perkara dan seorang yang demokratik mesti memahami
ciri asas ini. Saya tidak mengharapkan ahli parlimen atau pimpinan kerajaan negeri –
baik diperintah oleh BN atau Pakatan Rakyat, malah sesiapa sahaja –
hanya tunduk kepada apa saja garis sikap parti atau pimpinan parti
setiap masa. Amalan sentiasa patuh kepada parti adalah amalan buruk yang tidak
harus dicontohi oleh pemimpin Malaysia pada masa kini dan akan datang. Jangan nanti ungkapan Lincoln disalahfahami sebagai “menyekat,
membeli dan menekan rakyat” (off the people, buy the people and force
the people). Sesungguhnya demokrasi mempunyai sisi cerah, jadi mengapa
kita mahu berada di sisi gelap?
- – -
AMIN AHMAD ialah Felo di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).